Friday, May 18, 2012

Jangan Marah


Sifat marah merupakan sifat fitrah yang dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya. Ia ibarat dadah jika diguna dengan baik mendapat pahala, jika disalah guna akan mendapat dosa. Ia juga merupakan kunci segala kejahatan sebagaimana dinyatakan oleh Jaafar bin Muhammad. Marah adalah daripada syaitan sebagaimana disebut oleh baginda SAW: “Sesungguhnya kemarahan itu berasal daripada syaitan dan syaitan daripada api, dan api dapat dipadamkan dengan air. Apabila kamu sedang marah, hendaklah kamu berwudhu”.[1]

Perlu difahami marah daripada syaitan adalah marah yang tidak bertempat, sedangkan ada juga marah kerana Allah SWT dan mendapat pujian daripada Allah SWT. Justeru kali ini saya akan membicarakan perihal tentang marah dan cara-cara untuk mengatasinya.

HADIS TUMPUAN

Telah datang seorang pemuda menemui Rasul SAW, dan berkata kepada baginda: Berilah pesan kepadaku. Berkata nabi SAW: Janganlah kamu marah. Lalu diulanginya beberapa kali: Janganlah kamu marah.[2]

Ulama berselisih pendapat siapakah pemuda yang datang bertemu baginda SAW. Di sana terdapat dua pendapat:

1-  Yang menyatakan bahawa beliau adalah Abu Darda’ berdalilkan sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Darda’: Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga. Bersabda Nabi SAW: Janganlah kamu marah, bagimu syurga”.[3]
2-   Al-Qistalani dalam Syarh al-Bukhari menyebut orang tersebut ialah Jariah bin Qudamah, bapa saudara kepada Ahnaf bin Qais berdasarkan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh beliau[4]: Aku telah mendatangi Nabi SAW dan berkata kepadanya: Sebutkan kepada saya satu pesanan, dan biarlah ia ringkas sahaja, agar mudah untuk aku mengingatinya. Maka baginda SAW bersabda: Janganlah kamu marah. Aku berasa kurang puas lalu mengulangi pertanyaan yang sama tetapi baginda SAW tetap berkata: Janganlah kamu marah.

PETANDA MARAH

Mukanya menjadi merah padam, matanya berkunang-kunang, telinganya merah dan mula tidak mahu mendengar nasihat atau peringatan. Air mukanya kelihatan bengis, kaki dan tangannya menjadi gementar.[5]

Nabi SAW bersabda: Jagalah dirimu daripada marah. Sesungguhnya marah itu laksana bara api yang menyala di dalam hati anak Adam. Cubalah perhatikan (ketika seseorang sedang marah), lehernya kembang, dua biji matanya merah.

MENAHAN MARAH IALAH SEBAIK-BAIK PERANGAI

Allah SWT menyifatkan orang yang mampu menahan perasaan marah sebagai salah satu ciri-ciri orang yang bertaqwa kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud

“Iaitu orang yang memberikan infaq ketika lapang dan sempit, serta menahan kemarahannya dan memberi kemaafan sesama manusia. Dan Allah menyukai orang-orang yang melakukan kebaikan”[6]

Allah SWT juga memuji golongan ini di dalam ayat yang lain: Dan ketika marah, mereka memberikan kemaafan.

Pernah orang bertanya kepada baginda SAW mengenai amal yang paling utama. Nabi SAW menjawab Husn al-Khuluq (kelakuan yang baik). Beliau bertanya lagi dan Nabi SAW menjawab dengan jawapan sama. Apabila diulangi kali ketiga, Nabi SAW bersabda: Kenapakah kamu masih tidak faham? Baik perangai ialah kamu jangan marah jika kamu mampu.   

MENAHAN MARAH MENGELAKKAN KEMURKAAN ALLAH SWT

’Amr bin al-’As bertanya: Bagaimana agar saya tidak dimurkai oleh Allah SWT? Maka Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu marah.

MENAHAN MARAH MEMUDAHKAN PROSES DAKWAH

Ini dapat difahami melalui sifat dan dakwah nNabi SAW yang bersifat penyantun dan tidak mudah melepaskan nafsu amarahnya. Kita boleh merujuk di dalam beberapa kisah menarik bagnda SAW seperti kisah peminta hutang yang berkasar, wanita tua Yahudi yang sering mencerca baginda SAW, kejahatan Abu Sufyan dan pemuka-pemuka Mekah yang lain, pengkhianatan Abdullah bin ’Ubay bin Salul, dan lain-lain. Kisah dakwah nabi SAW di Thaif juga merupakan satu klimaks mempamerkan kesabaran Nabi SAW yang tiada tara. Ini disebut oleh Allah SWT dalam kalamnya yang suci:

“Maka dengan rahmat daripada Allah, maka kamu berlemah lembut terhadap mereka. Jika kamu bersikap keras nescaya mereka akan menjauhi kamu. Maka berilah kemaafan kepada mereka dan memohon ampunan buat mereka dan bermesyuarat dengan mereka dalam apa jua urusan. Maka apabila kamu telah berazam, hendaklah kamu bertawakal kepada Allah. Sesunguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya”.[7]

ORANG YANG MAMPU MENAHAN MARAH MERUPAKAN ORANG TERKUAT

Orang yang mampu menahan marah dianggap sebagai orang yang kuat dan mendapat pujian khusus daripada Nabi SAW. Justeru, bertepatan dengan apa yang disebut oleh Hassan al-Banna bahawa menahan marah merupakan antara lima ciri orang yang berani. Ini dijelaskan di dalam hadis Nabi SAW.

“Apakah yang kamu anggap kuat dalam berjuang? Sahabat berkata: Orang yang tidak dapat dikalahkan dalam perjuangan. Nabi SAW menerangkan: Bukan demikian sebaliknya ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah”.[8]

“Orang yang paling kuat di kalangan kamu ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. Dan orang yang paling lembut ialah orang yang memberi kemaafan sedangkan beliau mampu untuk membalasnya”.

GANJARAN BIDADARI

“Barangsiapa yang dapat menahan kemarahannya padahal ia dapat meluahkannya, nescaya Allah SWT memanggilnya di hadapn khayalak ramai untuk dipersilakn memilih bidadari yang dikehendakinya”.[9]

ALLAH MELINDUNGI ORANG YANG MENAHAN MARAH

Ibn Abbas r.a. ketika mentafsirkan ayat: Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya[10] berkata: Sabar menahan marah, memaafkan ketika saat diganggu. Barangsiapa yang berbuat demikian, akan dilindungi Allah dan musuhnya akan ditundukkan.

ILMU YANG BERGUNA

Nabi Isa a.s. berkata kepada sepupunya Nabi Yahya a.s.: Saya akan mengajar kamu satu ilmu yang berguna iaitu jangan marah. Nabi Yahya a.s. bertanya: Bagaimana saya tidak akan marah? Nabi Isa a.s. berkata: Bila ada orang yang mengatakan kesalahan kamu, maka katakan itu sememangnya dosa saya tetapi saya tidak ingat dan kerananya saya memohon keampunan daripada Allah SWT. Dan jika ada orang mengatakan suatu perkara yang tidak kamu lakukan, maka bersyukurlah kepada Allah kerana orang tersebut telah membuat kebaikan kepadamu dengan menghinamu.

NABI MUSA A.S. SEBAGAI CONTOH TERBAIK

Nabi Muhammad SAW pernah berasa marah apabila dituduh berlaku tidak adil dalam pembahagian harta ghanimah, namun kemudiannya baginda SAW bersabda:

“Semoga saudaraku Musa a.s dirahmati Allah. Sebenarnya baginda a.s lebih disakiti berbanding diriku namun baginda a.s terus bersabar”

Kesabaran Nabi Musa a.s terbukti apabila baginda a.s terus cekal berdakwah meskipun kaumnya terlalu banyak menyakiti hati baginda a.s termasuklah ketika baginda a.s mengajak kaumnya berjihad untuk memasuki kota Palestin. Mereka menempelak Nabi Musa a.s dengan menyuruh baginda a.s berjihad bersama dengan Tuhannya sedangkan mereka hanya berehat menantikan keputusan.[11]

Malah Nabi Musa a.s diminta untuk berlembut ketika menyampaikan dakwah kepada Fir’aun yang zalim: Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Fir’aun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka serulah dia dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia akan sedar dan takut”.[12]

Umar al-Khattab juga pernah marah apabila dituduh berlaku tidak adil dalam pembahagian ghanimah namun kemudiannya beliau ditegur oleh seorang sahabat yang membacakan kepada beliau sepotong ayat al-Quran yang berbunyi: Berilah kemaafan dan suruhlah yang ma’ruf dan menjauhi kehidupan jahiliyah.[13]

CARA MENGATASI MARAH

1-Berwudhu’

“Sesungguhnya kemarahan itu berasal daripada syaitan dan syaitan daripada api, dan api dapat dipadamkan dengan air. Apabila kamu sedang marah, hendaklah kamu berwudhu”.[14]

2-Ubah posisi kedudukan: Jika berdiri, hendaklah duduk. Jika duduk, hendaklah baring. (berdasarkan anjuran Baginda SAW)

3-Berlindung dengan membaca ta’awwuz

4-Berzikir kepada Allah SWT: Barangsiapa yang ingat kepada-Ku ketika marah, nescaya aku ingat kepadanya ketika Aku marah, dan tidak akan aku hilangkan rahmat-Ku sebagaimana orang-orang yang Aku binasakan atau hilangkan rahmat-Nya.[15]

5-Ingat kebaikan orang dan melupakan keburukannya. Juga ingat keburukan kita dan lupakan kebaikan yang kita lakukan.

6-Sentiasa berprasangka baik dan tidak merasakan diri lebih mulia berbanding orang yang kita marahi. “Janganlah kamu merendahkan satu kaum yang lain kerana boleh jadi ia lebih mulia berbanding kamu”.[16]

Seorang raja yang pemarah, menulis sepucuk surat dan diberi kepada menterinya. Baginda berpesan supaya beliau memberikan surat itu kepadanya apabila ia dalam keadaan marah. Surat tersebut berbunyi:

“Letakkan belas kasihanmu kepada orang-orang yang ada di bumi,
Nescaya engkau akan dikasihi Tuhan yang ada di langit.

Awas, wahai raja yang ada di bumi terhadap Raja di langit,
Awas, wahai pemerintah yang ada di bumi terhadap Pemerintah di langit.

Ingatlah kepada-Ku ketika engkau sedang marah,
Nescaya Aku akan ingat kepada engkau ketika Aku marah”.

KONKLUSI

Imam al-Ghazali menyatakan beberapa sikap manusia:

1-Ada yang cepat marah tetapi cepat hilang marahnya.
2-Ada yang lambat marah tetapi lambat hilang marahnya.
3-Ada yang lambat marah tetapi cepat hilang marahnya. (Ini yang terbaik)
4-Ada yang cepat marah dan lambat hilang marahnya. (Ini yang terburuk)

Maka, hendaklah kita selaku muslim yang hidup bersaudara untuk menjauhi sikap marah yang dikutuk dalam agama. Dalam masa yang sama, kita juga hendaklah belajar untuk marah kerana Allah SWT.

Janganlah kita marah sehingga melupakan kebaikan orang terhadap kita selama ini. Ibarat kata pepatah, marahkan nyamuk kelambu dibakar.  

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kalimah yang benar ketika aku sedang marah dan ketika redha.



[1] Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, dan Asiyah al-Aufi
[2] Hadis ke-16 dalam Hadis 40 al-Nawawi. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari
[3] Riwayat al-Tabrani
[4] Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad
[5] K.H.M. Ali Usman, H.M.D. Dahlan, H.A.A. Dahlan. (2002). Hadis Qudsi. Kuala Lumpur: Percetakan Zafar Sdn. Bhd. Hlmn.508
[6] Ali ‘Imran: 134
[7]
[8] Hadis riwayat Ibn Athir dalam Al-Nihayah
[9] Hadis riwayat Mu’az bin Anas r.a
[10] Surah al-Mukminun: 96
[11] Surah Al-Maidah: 24
[12] Surah Taa Ha: 43-44
[13] Surah
[14] Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, dan Asiyah al-Aufi
[15] Hadis Qudsi riwayat Al-Daylami daripada Anas r.a
[16] Surah Al-Hujurat: 11

Thursday, May 10, 2012

Sifat Malu


SIKAP MALU

Sifat malu merupakan kurniaan besar Allah SWT kepada hamba-Nya, supaya dengan itu manusia akan berasa malu untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Sikap malu inilah menyebabkan manusia hidup saling berkasih sayang sesama mereka dan menjauhi hidup ala rimba.

Malu terbahagi kepada dua: malu fitrah dan malu hasil kesedaran terhadap hidup beragama. Malu fitrah bukanlah topik perbicaraan dalam ruangan ini, sebaliknya malu yang ingin kita bicarakan ialah malu yang lahir hasil kesedaran beragama.

Malu adalah: Perasaan mendesak seseorang meninggalkan segala yang keji. Sumbernya adalah hati dan jiwa yang sedar dengan nilai diri yang percaya kepada pengawasan Allah SWT. Ia membezakan antara manusia dengan haiwan.

Malu juga adalah: Malu yang diusahakan melalui pengajaran ketuhanan yang timbul melalui batin jiwa disebabkan sempurna penelitian terhadap segala nikmat Allah SWT.

HADIS TUMPUAN

Daripada Abi Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri,[1] bahawa nabi SAW pernah bersabda: Sesungguhnya antara warisan kalam kenabian: Apabila kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu suka”.[2] 

Hadis ini merupakan sindiran nabi SAW. Baginda SAW menggunakan perkataan berdasarkan Fi’il Amr (fasna’ ma syi’ta-maka lakukanlah apa sahaja yang kamu suka) sebagai satu sindiran; sebagaimana seorang ibu menyuruh anaknya memanjat pokok dengan tujuan supaya anaknya tidak memanjat pokok.

Allah SWT juga ada menggunakan lafaz sindiran terhadap orang yang mengingkari arahan-Nya seperti Dia berfirman: Maka berilah khabar gembira kepada mereka dengan azab yang pedih. Juga firman Allah SWT dalam ayat yang lain: Maka lakukanlah apa sahaja yang kamu suka. Sesungguhnya Dia melihat apa sahaja yang kamu lakukan.[3]

Hadis nabi SAW juga menunjukkan satu petanda, bahawa segala kemungkaran yang dilakukan oleh manusia adalah disebabkan mereka tidak lagi memiliki perasaan malu kepada Allah SWT.

MALU MERUPAKAN SIKAP TERPUJI

1- Malu sebahagian daripada Iman. Sabda nabi SAW: Malu adalah sebahagian daripada Iman.

2- Malu merupakan satu kebaikan. Sabda nabi SAW: Malu, semuanya baik. Malu tidak datang melainkan dengan kebaikan.

3- Malu merupakan sunnah nabi SAW. Baginda diriwayatkan lebih malu daripada gadis sunti yang berada dalam bilik. Uthman bin ‘Affan r.a juga seorang yang pemalu sehingga malaikat pun malu terhadap beliau.

PEMBAHAGIAN MALU

1- Malu tercela: Malu berkata dan melakukan sesuatu perkara yang benar. Dalam satu hadis[4] disebut: Bahawa apabila Allah SWT berkehendak kebinasaan kepada seseorang hamba, maka dicabut perasaan malu daripadanya. Dan tidak engkau melihat dia melainkan seorang yang benci lagi dibencikan.

2- Malu tidak dikehendaki: Malu bertanya sesuatu yang belum diketahui. Allah SWT sendiri menyuruh kita supaya bertanyakan orang yang mengetahui jika kita tidak mengetahui hakikat sesuatu perkara: Maka bertnyalah kepada ahl zikr jira kamu tidak mengetahuinya.

Dalam hal ini, ‘Aisyah memuji wanita Ansar yang tidak malu bertanyakan perkara-perkara yang berkaitan ilmu: Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar kerana perasaan malunya tidak menghalang mereka untuk bertanyakan urusan-urusan agama mereka..

Satu ketika Ummu Salim berjumpa Rasul SAW maka berkata: Sesungguhnya Allah tidak malu untuk menyatakan yang haq. Apakah seorang wanita perlu mandi apabila dia bermimpi? Jawab nabi SAW: Ya, apabila dia melihat air (mani).

3- Malu terpuji: Malu melakukan maksiat

ALLAH SWT TIDAK MALU MENYATAKAN YANG HAQ

Allah SWT tidak malu menyatakan kebenaran: Sesungguhnya Allah tidak malu untuk membuat perumpamaan dengan seekor nyamuk atau lebih kecil lagi.[5]

MALU MENGHALANG MAKSIAT

Perasaan malu akan menyebabkan seseorang itu tidak menzahirkan maksiat di hadapan ramai. Ini disebut dalam satu hadis: Kebaikan ialah sebaik-baik akhlak. Manakala dosa ialah getaran hati dan engkau benci (takut) untuk mempamerkannya di khayalak ramai.[6]

PERSOALAN

Ada orang yang malu untuk bertaubat setelah banyak kali mengulangi taubat setelah melakukan dosa. Terdapat orang yang juga malu untuk berzikir sedangkan hatinya lalai.

1- Persoalan pertama pernah diajukan kepada nabi SAW dan Ibn Qayyim al-Jawziyah. Mudah sahaja, sentiasa mengulangi taubat meskipun kita tidak lekang melakukan dosa, kerana sesungguhnya yang menerima taubat dan mengiktiraf sesuatu itu dosa adalah kerja Allah SWT. Mudah-mudahan hati kita akan lentur kelak untuk tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT.

2- Untuk persoalan kedua, Ibn ’Athaillah pernah menjelaskan dalam kalam hikmahnya bahawa tidak mengapa berzikir tanpa hati. Sekurang-kurangnya lisan berzikir. Insya-Allah hati akan tunduk mengikuti zikir lisan itu.

KESIMPULAN

Perasaan malu yang sebenar disebut oleh nabi SAW: Malulah kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Maka berkata para sahabat: Kami memang pemalu, alhamdulillah. Kemudiannya nabi SAW menjelaskan: Bukan demikian. Malu kepada Allah dengan sebenarnyaialah, hendaklah kamu menjaga kepala kamu dan apa yang kamu dengar, perut dan keinginannya. Dan hendaklah kamu mengingati kematian dan bencananya. Barangsiapa yang melakukan perkara tersebut, maka ia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Hasil daripada hilangnya perasaan malu akan menyebabkan banyak kerosakan berlaku. Artis Barat sudah tidak malu berbogel malah berbangga pula. Budaya Timur kian terhakis sedikit demi sedikit. Nilai ajaran Islam sudah mula hampir dilupakan keseluruhannya.

Sesungguhnya, menjadi kewajipan kepada kedua ibu bapa dan guru-guru untuk menerapkan perasaan malu semenjak kecil lagi.



[1] Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan sembilan buah hadis daripada beliau secara bersama-sama. Manakala al-Bukhari menambah satu lagi hadis riwayat beliau secara perseorangan dan Muslim menambah tujuh buah hadis lagi. Beliau merupakan ahli Badr yang kemudiannya mendiami di Kufah. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 102 hadis daripada nabi SAW.
[2] Hadis riwayat al-Bukhari. Al-Nawawi telah meletakkan hadis ini sebagai hadis ke-20 dalam Hadis 40 beliau.
[3] Surah Fussilat: 40
[4] Hadis ini adalah hadis dha’if
[5] Surah Al-Baqarah: 26
[6] Hadis riwayat Muslim daripada Al-Nawwas bin Sam’an. Al-Nawawi telah meletakkan hadis ini sebagai hadis ke-27 dalam hadis 40

Thursday, May 3, 2012

Buku Wasiat, Hibah, Mudarabah & al-Syarikah

Pengarang: Prof. Madya Dr Ishak Hj Suliaman 

Buku ‘Wasiat, Hibah, Mudarabah dan al-Syarikah’ merupakan buku pertama di dalam penerbitan Siri Kompilasi Teks Hadith Muamalah. Keunikan buku ini adalah: 
  • Memaparkan teks-teks berautoriti hadith muamalah terpilih yang berkaitan dengan wasiat, hibah, mudarabah dan al-Syarikah. 
  • Mengandungi sub topik bagi setiap transaksi muamalah (wasiat, hibah, mudarabah, dan al-Syarikah) dan disertakan dengan terjemahan teks di dalam bahasa Melayu. 
  • Menganalisis aspek takhrij al-Hadith (sumber rujukan atau ambilan sesuatu hadith) dan aspek darajah al-Hadith (kualiti sesuatu hadith). 
 Dapat dijadikan rujukan ilmu hadith muamalah di pelbagai peringkat pengajian ilmu Islam. Juga sesuai dibaca oleh umat Islam secara umum termasuk golongan bukan Islam.

Buku Autoriti Hadis

Harga: RM25
Pengarang Bersama: Ishak Hj. Suliaman, Fauzi Deraman, Mohd. Muhiden Abd Rahman & Abdul Karim Ali.

ISBN : 983-100-422-1 (2007)

Buku ini merupakan gabungan usaha empat ahli akademik yang mempunyai pengkhususan dalam bidang ilmu hadis. Kesemua sebelas artikel dalam buku ini adalah hasil suntingan dan pengemaskinian daripada penyelidikan individu, artikel ilmiah yang pernah diterbitkan dalam jurnal, hasil kertas kerja seminar yang pernah dibentangkan dan bahan-bahan pengajaran. Matlamat utama buku ini untuk menjelaskan autoriti hadis Rasulullah SAW sebagai rujukan berautoriti selepas al-Quran kepada umat Islam. Ulasan dan analisis dalam topik-topik yang diutarakan berupaya memberi penjelasan berhubung perkembangan antihadis dan usaha yang dilakukan dalam menangani serangan musuh Islam.

DR ASRI

USTAZ ZAHARUDDIN

 

Demi Masa

Demi masa..Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian..Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, serta saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran

English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Photobucket
Layari: E-Maktabah

YM Saya

Twitter Updates

Tags

Blog Archive

Share it

Menyingkap Tirai Sunnah Copyright © 2009 Designed by Bie Al Abrar